CLICK HERE FOR BLOGGER TEMPLATES AND MYSPACE LAYOUTS »

Monday, March 21, 2011

Dugaan Tahun Pertama Perkahwinan

Menurut Janice Hoffman, penulis buku ‘Relationship Rules’, katanya, “The little things you overlooked when you were dating, you don’t overlook them when you’re married” yang bermaksud, “Hal-hal kecil yang anda diabaikan ketika anda semasa anda berdating, anda tidak abaikannya apabila anda sudah berkahwin.”

Biar baru berkahwin, mereka ini menempuh banyak konflik dan sengketa hingga akhirnya rumahtangga harmonis yang diidam-idamkan seakan tidak nampak jalannya. Keadaan sebegini memang boleh saja berlaku bagi pasangan yang baru mendirikan rumahtangga kerana tahun pertama perkahwinan adalah masa-masa penyesuaian pasangan. Mereka perlu menyatukan dua kepala dan mengenepikan kepentingan yang bersifat individu serta menjadikan satu kepentingan atas nama bersama.

Masa penyesuaian ini boleh jadi penuh dugaan dan memerlukan banyak pengorbanan. Jika berjaya mengatasinya, pasangan akan memasuki tahap seterusnya dalam perkahwinan dengan landasan yang lebih kukuh. Sebaliknya, jika gagal menyesuaikan diri dan menghabiskan banyak masa dan tenaga untuk memahami atau menuntut pasangan agar dapat memenuhi harapan, maka perkahwinan akan disibukkan dengan hal-hal kecil sebegini.

Pasangan baru mendirikan rumahtangga disarankan supaya belajar dan mengambil tahu apakah jenis konflik yang akan mereka lalui, agar mereka tidak terlalu terkejut dengan konflik ini sehingga menjejaskan kehidupan sebagai suami isteri pada masa akan datang.


Dalam hal ini, mereka disarankan agar melakukan introspeksi diri dan kembali ke konsep awal pernikahan. Dugaan yang dihadapi meskipun perit, namun ia mampu memperkuatkan hubungan untuk suami isteri baru ini memasuki tahap berikutnya yang sudah tentunya tidak kalah dengan cabaran yang boleh menggoyahkan ikatan.

Bagi mereka yang baru menjalani kehidupan rumahtangga, ada baiknya anda meneliti dugaan-dugaan yang berikut yang mungkin sedia menanti anda berdua. Semoga ia jadi panduan anda menghadapi hari-hari awal perkahwinan.
1 – Sukar tinggalkan gaya hidup bujang

Ramai lelaki yang memasuki alam rumahtangga dengan harapan bahawa pasangannya akan memahami gaya hidupnya sewaktu bujang. Mereka berharap isteri akan memahami hobi suka menghias kereta, melepak ‘mengeteh’ atau ‘mengopi’ bersama rakan dan sebagainya. Bagi mereka tidak salah untuk keluar bersenang-senang sendirian dan membiarkan pasangan terperuk keseorangan di rumah.

Gaya hidup sebegini sebaiknya ditinggalkan atau paling tidak, dikurangkan sahaja, agar tidak menimbulkan ketidak-puasan hati isteri. Lebih elok sekiranya masing-masing saling terbuka membicarakan sejauh mana batas toleransi terhadap kebiasaan dan hobi yang ada.

2 – Harapan dan keinginan yang berlebihan

Umumnya pasangan yang baru bernikah membayangkan kehidupan yang serba indah dan pasangan bersikap serba sempurna dalam menjalani hidup berumahtangga. Mereka mempunyai harapan dan keinginan dari perkahwinan yang dilalui. Masalahnya, mereka tidak membincangkan harapan dan keinginan mereka ini antara satu sama lain. Apabila harapan dan keinginan tidak kesampaian, ada yang terpaksa menahan kekecewaan kerana sikap pasangan begitu berbeza setelah berkahwin, berbanding sewaktu bercinta.

Oleh itu mereka yang baru berumahtangga digesa supaya jangan berharap terlalu tinggi terhadap pasangan, kerana tidak mustahil mereka akan kecewa dan berputus asa jika harapan dan keinginannya tidak dipenuhi. Sebaiknya, terimalah kenyataan yang ada. Anggaplah kekurangan itu sebagai anugerah dan cabaran bagi mengimbangi kelebihan yang ada.

3 – Membahagikan tugas dan peranan

Sejak sebelum berkahwin lagi, baik lelaki mahupun wanita telah ditanamkan peranan tertentu sebagai seorang suami atau isteri. Suami ditugaskan dan diharapkan menjadi pencari nafkah untuk keluarga, menyediakan serba-serbi keperluan dan melindungi isteri dan keluarga. Sementara peranan isteri pula adalah melakukan urusan rumahtangga, menjaga anak dan memasak. Tetapi hakikatnya, dalam zaman yang serba mencabar ini, peranan ini belum tentu akan dapat digalas sepenuhnya oleh seorang suami mahupun isteri.

Ada pasangan pengantin baru yang terlalu terikut dengan peranan ortodoks tradisi ini dan menaruh harapan yang pasangannya akan mejalankan peranan itu sepenuhnya. Mereka tidak pula membincangkan peranan ini mengikut perkembangan semasa sehingga tanpa sedar ia mendatangkan kekecewaan bila peranan itu tidak dapat dipenuhi oleh pasangan.

Seharusnya, sebaik sahaja melangkah ke alam rumahtangga, pasangan suami isteri baru berbincang dari hati ke hati untuk menentukan peranan apa yang harus dilakukan. Siapa yang akan mengurus pembayaran bil dan cukai? Siapa yang akan membersihkan bilik mandi? Siapa yang akan memasak makan malam? Adakah anda dan pasangan akan bergilir memainkan peranan ini?

Pada masa kini, kos sara hidup yang serba meningkat tidak memungkinkan seorang suami menyara isteri dan keluarga sendirian. Ketika inilah ehsan dan tolak ansur isteri diperlukan. Dalam masa yang sama juga, suami harus bertolak ansur membantu isteri melakukan tugas-tugas di rumah. Barulah adil dan saksama.

4 – Sukar menyatukan pendapat

Ramai pasangan suami isteri baru asyik bertekak dalam membicarakan perkara-perkara yang tidak terlalu penting dan remeh-temeh. Masing-masing cuba mempertahankan ego. Bagi mereka, pendapat mereka adalah yang paling bernas dan layak untuk diikuti. Justeru akan berlakulah konflik termasuklah dalam hal remeh-temeh seperti membeli perabot, menghias rumah ataupun tidak mengangkat toilet seat penutup tandas serta menyepahkan baju kotor dan sebagainya.

Ini berlaku kerana sebelum berkahwin kedua-duanya membuat keputusan sendiri tanpa perlu mengambil kira pandangan insan lain. Akan tetap bila sudah hidup berdua di bawah satu bumbung, semua keputusan yang diambil harus dipersetujui bersama. Dalam hal ini, suami isteri haruslah belajar untuk berkompromi dan mengalah demi kesenangan yang lain.

5 – Dengar, dengar, dengar

Pernahkah anda terfikir, mengapa kita diciptakan dengan satu mulut dan dua telinga? Salah satu hikmahnya ialah kita wajar kurangkan aktiviti bercakap dan dituntut lebih banyak mendengar. Pada dasarnya, kita semua hanya ingin didengari. Komunikasi dalam perkahwinan berlaku pada pelbagai peringkat. Nantikan perbualan dengan pasangan anda dan pastikan anda memasang telinga mendengar ketika pasangan anda bercakap. Walaupun anda mungkin tidak tertarik dengan apa yang terjadi dalam hidup mereka, berilah perhatian dan biarkan mereka tahu bahawa anda mendengar dan biarkan mereka menjelaskan apa yang mereka maksudkan sehingga anda boleh yakin bahawa anda memahaminya.

6 – Waktu bersama

Ketika bercinta mungkin tiada masalah dalam hal ini. Apabila ingin berjumpa, telefon dan tetapkan saja lokasinya. Bertemu saban hari pun tidak menjadi hal. Anda boleh saja menonton wayang, membeli belah ataupun melakukan apa saja yang anda berdua sukai. Namun setelah berkahwin, cara untuk menghabiskan masa bersama pasangan mungkin berbeza. Ada yang mula berasa rimas bila ke mana-mana saja harus bersama, lalu tidak mustahil akan menimbulkan konflik.

Membangunkan hubungan bersama memerlukan rasa hormat bahawa pasangan anda juga punya keperluan peribadi. Pasangan mungkin punya acara tersendiri yang mahu dilakukan tanpa diri anda. Oleh itu jalan yang paling baik, berbincanglah tentang masa rekreasi anda bersama pasangan, tentukan apa aktiviti dan di mana tempatnya. Variasi acaranya agar anda dan pasangan tidak kebosanan bersama.

7 – Sukar bergaul dengan keluarga mertua

Sebaik berkahwin, anda bukan hanya menjalinkan hubungan dengan pasangan sahaja, tetapi juga dengan seluruh ahli keluarganya. Ayat ini memang sudah acap kali anda dengar dan sememangnya itu adalah hakikatnya. Oleh itu, pasangan yang baru berkahwin ini perlu pandai bergaul dan membawa diri.

Akan tetapi, tahap pergaulan seseorang itu berbeza, ada yang peramah dan mudah saja mendekati insan lain, tapi ada pula yang jenis pendiam dan kurang bergaul hingga dianggap sombong. Pasangan sebegini akan lebih bermasalah jika mereka masuk dalam keluarga yang besar. Bergaul dengan keluarga baru yang agak asing dengan budaya dan rutin keluarga tentunya adak sukar. Oleh itu tidak mustahil pasangan pengantin baru akan berhadapan dengan masalah dalam hal ini.

Sekiranya pasangan seperti ini, maka adalah penting untuk anda memberi pemahaman kepada keluarga tentang sikapnya supaya tidak timbul salah sangka dan sebaliknya. Selain itu, pasangan juga harus cuba belajar bergaul dalam keluarga baru mereka. Menyesuaikan diri dengan keluarga baru memerlukan masa, jadi baik suami atau isteri haruslah bersabar dalam memahami sikap dan hidup keluarga mertua.

8 – Masalah kewangan, duitmu duitku

Bagi suami iseri yang masing-masing punya karier, soal kewangan boleh menjadi masalah buat mereka. Pembahagian tentang pembayaran belanja dapur, pinjaman, hutang kereta dan sebagainya boleh menjadi isu serius dan seterusnya menimbulkan rasa tidak puas hati. Rumahtangga boleh jadi hancur jika masalah dan urusan kewangan ini tidak ditangani dengan betul.

Begitu juga dengan sikap boros atau kedekut pasangan, selain soal tabungan yang sentiasa tidak diadakan. Satu tips buat suami isteri baru ini, mereka seharusnya membicarakan soal kewangan ini secara terbuka sejak awal berkahwin lagi. Bahagikan tanggungjawab kewangan seadilnya mengikut kemampuan dan jangan lupa menabung.

9 – Masih teringat cinta lama

Mengapa berkahwin jika anda masih teringat-ingatkan kekasih lama? Setelah bernikah, sebaiknya cerita masa lalu terutamanya tentang cinta yang tidak kesampaian hendaknya disimpan di dalam hati dicampakkan ke perigi buta sahaja. Sekiranya hati tetap terusik walaupun setelah mendirikan rumahtangga, maka ingat-ingatlah kepada pasangan dan komitmen terhadap perkahwinan anda dengan pasangan. Biarlah kenangan itu berlalu dan anda harus menerima realiti untuk hidup bersama dengan pasangan anda sekarang dengan penuh bahagia.

0 comments: